NILAI MASYARAKAT MALAYSIA

   NILAI MASYARAKAT MALAYSIA

Setelah hampir 63 tahun mencapai kemerdekaan, adalah sesuatu yang amat malang apabila kita masih tercari-cari jati diri sebenar rakyat Malaysia. Tidak perlu kita membuka lembaran lebih jauh untuk berbicara tentang rupa-bentuk bangsa Malaysia sebagai asas pembinaan negara bangsa, sekiranya persoalan yang lebih kecil berkaitan dengan jati diri yang sepatutnya dimiliki secara sepunya oleh rakyat masih belum selesai. Rakyat Malaysia seperti dibiarkan untuk memiliki jati diri mengikut cita rasa masing-masing tanpa ditunjuki oleh pihak yang berkuasa. Situasi seperti ini sekiranya tidak dikawal akan mewujudkan konflik yang serius di dalam masyarakat.
              Lazimnya sistem nilai dikaitkan dengan kepercayaan yang dipegang oleh seseorang atau sesebuah masyarakat.Bagaimanapun bagi mereka yang tidak menerima sistem nilai sebagai sesuatu yang bersifat supernatural seperti golongan naturalisme atau realisme, sistem nilai seseorang atau sesebuah masyarakat diasaskan kepada banyak faktor termasuk pemikiran, dan budaya sesebuah masyarakat.Maka lahirlah berbagai sistem nilai yang tidak berasaskan agama seperti utilitarianisme, hedonisme dan sebagainya.Biar apapun sistem nilai yang dipegang, perlu ada nilai-nilai sepunya sehingga sesuatu yang baik diterima bersama sebagai baik dan sesuatu yang buruk diterima bersama sebagai buruk.

              Betapa celaru sesebuah masyarakat bila tiada nilai-nilai sepunya yang diterima secara bersama oleh mereka. Dengan erti kata lain setiap individu atau kelompok kecil dalam sesebuah masyarakat itu mempunyai sistem nilai yang pelbagai sehingga sesuatu yang baik dianggap buruk oleh kelompok yang lain dan sesuatu yang buruk dianggap baik oleh kelompok yang lain. Konflik nilai yang seperti ini akan menyebabkan sesebuah masyarakat menjadi kacau-bilau malah boleh membawa kepada pertelingkahan. Lebih daripada itu, sekiranya situasi ini wujud maka perundangan dan peraturan dalam sesebuah negara tidak lagi bermakna.

                   Menyedari hakikat tersebut, sangatlah membimbangkan apabila wujud kumpulan-kumpulan yang menggelarkan diri mereka masyarakat sivil cubamempertikaikan nilai-nilai sepunya masyarakat Malaysia yang sudah berdiri sekian lama sehingga menjadi faktor terpenting pembinaan jatidiri. Kumpulan-kumpulan ini mempertikaikan tindakan pihak berkuasa terhadap perlakuan tidak bermoral yang dilakukan oleh pihak-pihak tertentu hanya dengan beralasankan hak asasi.Gagasan untuk mempertikai sesuatu yang baik itu baik dan sesuatu yang buruk itu buruk sebagaimana yang telah diterima oleh masyarakat Malaysia secara turun temurun hanyalah mencetuskan konflik nilai seperti yang telah dinyatakan.

                   Masyarakat Malaysia yang menganut agama masing-masing sudah mewarisi nilai-nilai sepunya yang telah membina jati diri rakyat Malaysia.Sebagai contoh perlakuan tidak senonoh seperti berkelakuan lucah di khalayak ramai merupakan sesuatu buruk di sisi semua agama lebih-lebih lagi agama Islam.Begitu juga bersekedudukan dan perzinaan merupakan sesuatu yang keji di sisi setiap agama yang dianuti oleh masyarakat Malaysia.Boleh dikatakan perkara-perkara seumpama ini diterima sebagai suatu prinsip nilai yang sejagat walaupun diamalkan secara berbeza bagi setiap kaum.Warisan seperti inilah yang telah membina jati diri masyarakat Malaysia selaras dengan hakikat ‘sejarah yang membina bangsa dan negara’.

                  Pembinaan sebuah masyarakat yang mempunyai jati diri mulia tidak mungkin tercapai sekiranya tiada wujud prinsip-prinsip nilai yang boleh diterima secara bersama.Sistem nilai yang berasaskan kepentingan diri individu tidak mungkin berupaya membina sebuah masyarakat yang hidup harmoni.Bagaimanapun penerimaan prinsip-prinsip nilai secara bersama perlu diperkukuhkan dengan mekanisme kawalan moral bermula dari individu sehinggalah tanggungjawab pemerintah.Malangnya perkara seumpama ini semakin tidak diberi perhatian dalam masyarakat kita, malah wujud pula tangan-tangan kotor yang berusaha meruntuhkannya.

               Nilai-nilai kemasyarakatan dan kemanusiaan yang diamalkan oleh orang-orang tua seperti bekerjasama, saling mengambil berat dan lain-lain lagi telah dilupakan oleh generasi zaman kini.Ramai jiran yang tidak mengenali sesama mereka jauh sekali untuk mengambil berat tentang aktiviti anak-anak jiran. Masyarakat masa kini mengamalkan sifat individualistik iaitu mementingkan diri sendiri tanpa mempedulikan hal orang lain. Mereka juga sibuk mengejar kekayaan dan kesenangan selaras dengan nilai pegangan mereka iaitu materialistik.Kecanggihan sistem komunikasi seperti telefon telah merenggangkan lagi hubungan sesama mereka. Kekayaan yang dimiliki membolehkan mereka menyelesaikan masalah yang dihadapi tanpa memerlukan bantuan jiran-jiran.

No comments:

Post a Comment

NILAI MASYARAKAT MALAYSIA

     NILAI MASYARAKAT MALAYSIA Setelah hampir 63 tahun mencapai kemerdekaan, adalah sesuatu yang amat malang apabila kita masih tercari-ca...