NILAI MASYARAKAT MALAYSIA
Setelah
hampir 63 tahun mencapai kemerdekaan, adalah sesuatu yang amat malang apabila
kita masih tercari-cari jati diri sebenar rakyat Malaysia. Tidak perlu kita membuka
lembaran lebih jauh untuk berbicara tentang rupa-bentuk bangsa Malaysia sebagai
asas pembinaan negara bangsa, sekiranya persoalan yang lebih kecil berkaitan
dengan jati diri yang sepatutnya dimiliki secara sepunya oleh rakyat masih
belum selesai. Rakyat Malaysia seperti dibiarkan untuk memiliki jati diri
mengikut cita rasa masing-masing tanpa ditunjuki oleh pihak yang berkuasa.
Situasi seperti ini sekiranya tidak dikawal akan mewujudkan konflik yang serius
di dalam masyarakat.
Lazimnya sistem nilai
dikaitkan dengan kepercayaan yang dipegang oleh seseorang atau sesebuah
masyarakat.Bagaimanapun bagi mereka yang tidak menerima sistem nilai sebagai
sesuatu yang bersifat supernatural seperti golongan naturalisme atau realisme,
sistem nilai seseorang atau sesebuah masyarakat diasaskan kepada banyak faktor
termasuk pemikiran, dan budaya sesebuah masyarakat.Maka lahirlah berbagai
sistem nilai yang tidak berasaskan agama seperti utilitarianisme, hedonisme dan
sebagainya.Biar apapun sistem nilai yang dipegang, perlu ada nilai-nilai
sepunya sehingga sesuatu yang baik diterima bersama sebagai baik dan sesuatu
yang buruk diterima bersama sebagai buruk.
Betapa celaru sesebuah masyarakat
bila tiada nilai-nilai sepunya yang diterima secara bersama oleh mereka. Dengan
erti kata lain setiap individu atau kelompok kecil dalam sesebuah masyarakat
itu mempunyai sistem nilai yang pelbagai sehingga sesuatu yang baik dianggap
buruk oleh kelompok yang lain dan sesuatu yang buruk dianggap baik oleh
kelompok yang lain. Konflik nilai yang seperti ini akan menyebabkan sesebuah
masyarakat menjadi kacau-bilau malah boleh membawa kepada pertelingkahan. Lebih
daripada itu, sekiranya situasi ini wujud maka perundangan dan peraturan dalam
sesebuah negara tidak lagi bermakna.
Menyedari hakikat tersebut,
sangatlah membimbangkan apabila wujud kumpulan-kumpulan yang menggelarkan diri
mereka masyarakat sivil cubamempertikaikan nilai-nilai sepunya masyarakat
Malaysia yang sudah berdiri sekian lama sehingga menjadi faktor terpenting
pembinaan jatidiri. Kumpulan-kumpulan ini mempertikaikan tindakan pihak
berkuasa terhadap perlakuan tidak bermoral yang dilakukan oleh pihak-pihak
tertentu hanya dengan beralasankan hak asasi.Gagasan untuk mempertikai sesuatu
yang baik itu baik dan sesuatu yang buruk itu buruk sebagaimana yang telah
diterima oleh masyarakat Malaysia secara turun temurun hanyalah mencetuskan
konflik nilai seperti yang telah dinyatakan.
Masyarakat Malaysia yang
menganut agama masing-masing sudah mewarisi nilai-nilai sepunya yang telah
membina jati diri rakyat Malaysia.Sebagai contoh perlakuan tidak senonoh
seperti berkelakuan lucah di khalayak ramai merupakan sesuatu buruk di sisi
semua agama lebih-lebih lagi agama Islam.Begitu juga bersekedudukan dan
perzinaan merupakan sesuatu yang keji di sisi setiap agama yang dianuti oleh
masyarakat Malaysia.Boleh dikatakan perkara-perkara seumpama ini diterima
sebagai suatu prinsip nilai yang sejagat walaupun diamalkan secara berbeza bagi
setiap kaum.Warisan seperti inilah yang telah membina jati diri masyarakat
Malaysia selaras dengan hakikat ‘sejarah yang membina bangsa dan negara’.
Pembinaan sebuah masyarakat
yang mempunyai jati diri mulia tidak mungkin tercapai sekiranya tiada wujud
prinsip-prinsip nilai yang boleh diterima secara bersama.Sistem nilai yang
berasaskan kepentingan diri individu tidak mungkin berupaya membina sebuah
masyarakat yang hidup harmoni.Bagaimanapun penerimaan prinsip-prinsip nilai
secara bersama perlu diperkukuhkan dengan mekanisme kawalan moral bermula dari
individu sehinggalah tanggungjawab pemerintah.Malangnya perkara seumpama ini
semakin tidak diberi perhatian dalam masyarakat kita, malah wujud pula
tangan-tangan kotor yang berusaha meruntuhkannya.